|
Malaysia Dijangka Hasilkan Benih Padi Hibrid Sendiri Menjelang 2010 |
|
|
|
|
Written by Bernama
|
|
Wednesday, 11 February 2009 |
|
SERDANG, 16 Okt (Bernama) -- Menjelang 2010 Malaysia dijangka mampu menghasilkan benih padi hibridnya sendiri yang sekaligus dapat menjana peningkatan pengeluaran padi berkualiti serta memberikan pulangan lumayan kepada petani.
Pengerusi Lembaga Pengelola Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) Datuk Dr Zulkifli Idris berkata usaha itu sedang giat dijalankan oleh Mardi dengan dengan kerjasama pengeluar padi hibrid dari China.
"Kajian menggunakan beih padi hibrid dari China itu dijalankan Mardi dengan kerjasama Puncak Kaji Sdn Bhd di lima stesen penyelidikan Mardi di Seberang Prai, Kedah dan Selangor. Daripada enam jenis benih padi hibrid yang digunakan dua jenis daripadanya didapati sesuai digunakan untuk tanaman di Malaysia dan terbukti mampu meningkatkan hasil padi 30 peratus iaitu tujuh hingga sembilan tan sehektar," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu beliau mewakili Mardi menandatangani perjanjian persefahaman mengenai kerjasama pertukaran teknologi benih padi hibrid dengan Puncak Kaji Sdn Bhd dan syarikat pengeluar benih padi hibrid dari China, Hubei Provincial Seed Company. Puncak Kaji yang bertangungjawab menjalankan kajian dan pengkormersialan diwakili Pengerusinya Datuk Faudzi Naim Noh manakala Hubei Provincial Seed Company pula yang akan memberikan khidmat nasihat dari aspek pemindahan teknologi diwakili Pengerusinya Yuan Guaboa.
Dr Zulkifli berkata syarikat dari China itu dipilih memandangkan ia berjaya membuktikan benih padi keluarannya mampu meningkatkan hasil pengeluaran padi di China selain beberapa negara lain termasuk Bangladesh, Filipina dan Pakistan sehingga mencecah tujuh hingga 15 tan sehektar.
Beliau berkata walaupun kos menghasilkan benih padi hibrid agak tinggi berbanding benih padi biasa tetapi penggunaannya yang sedikit mampu meningkatkan hasil pengeluaran padi.
"Benih padi biasa hanya mampu mengeluarkan sekitar 3.9 tan sehektar tetapi benih padi hibrid mampu mencecah sembilan hingga sepuluh tan sehektar," katanya.
-- BERNAMA |
|
Last Updated ( Saturday, 21 February 2009 )
|